Menurut Wan Azizah, 45, pujian secara terbuka dalam pembentangan Bajet 2018 semalam itu adalah yang ketiga diterimanya daripada Perdana Menteri.

Jelas wanita yang berasal dari Kelantan itu, kali pertama dia menerima penghargaan daripada pemimpin nombor satu negara itu adalah pada 2005, seterusnya 2012.

“Perdana Menteri telah menyampaikan anugerah ke­bangsaan di Kedah, sete­rusnya beliau menjemput saya untuk berkongsi pengalaman mengenai kejayaan menjadi usahawan.

“Semalam, Perdana Menteri telah membuat saya terharu sangat kerana memuji saya dalam pembentangan Bajet 2018 yang ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia. Terima kasih Datuk Seri Najib,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat semalam meraikan kejayaan Wan Azizah sebagai usahawan ternakan ayam yang bermula daripada peringkat bawah sebelum menjadi ahli perniagaan berjaya, hasil pinjaman dana modal permulaan sebanyak RM500 daripada AIM.

Wan Azizah yang juga ibu kepada enam cahaya mata ber­kata, modal permulaan RM500 daripada AIM pada 1993 itu adalah satu-satunya pinjaman yang dibuat sepanjang 24 tahun terlibat dalam bidang ternakan dan pemprosesan ayam.

Katanya, bermula dengan menjual 10 ekor ayam sehari, kini meningkat kepada 900 ke 1,000 ekor ayam dan kesemuanya dipasarkan di sekitar daerah Kampung Banir Belikong, Selising, Pasir Puteh, Kelantan.

“Saya mengakui kejayaan Ziza Ayam Proses ini bertitik-tolak daripada pinjaman kerajaan sebelum mampu berkembang dan bertahan hingga hari ini.

“Dahulu hanya saya dan suami yang menguruskan perniagaan ini, tetapi kini dite­ruskan oleh anak sulung, selain dibantu sanak-saudara,” ujarnya.

Dalam masa sama, Wan Azizah memberitahu, dia masih belum bergelar jutawan, namun berharap kenyataan Perdana Menteri itu akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.