Wisma Putra dalam satu kenyataan memberitahu, Timbalan Perdana Menteri akan diiringi oleh Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin serta pegawai dari Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

"Timbalan Perdana Menteri akan menziarahi keluarga dan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham B.J. Habibie di Kuningan Timur.

"Dr. Wan Azizah akan turut menghadiri upacara pengebumian Allahyarham di Taman Makam Pahlawan Kalibata di Jakarta Selatan," katanya di sini hari ini.

Allahyarham B.J. Habibie merupakan Presiden Indonesia yang ketiga telah menghembuskan nafas terakhir semalam di Jakarta Pusat.

Kenyataan itu menambah, pemergian Allahyarham yang merupakan seorang negarawan Indonesia, adalah satu kehilangan besar bukan sahaja bagi negara tersebut malah bagi seluruh rantau Asia Tenggara. - UTUSAN ONLINE