Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Heo Chai berkata, perkara itu menimbulkan persoalan berhubung ketegasan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Beliau turut mempertikaikan kerajaan negeri yang sehingga kini jelas terbukti telah gagal memastikan isu kilang-kilang haram di daerah ini dapat dibanteras sepenuhnya.

"Bayangkan, garisan kuning (penyitaan) telah diletakkan di kilang itu tetapi operasi masih juga dijalankan, kita sendiri tak tahu mengapa ia berterusan.

"Kita sedang menunggu masa yang sesuai untuk menyerahkan memorandum mengenai masalah pencemaran (kewujudan kilang haram) kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah," katanya kepada Utusan Online di sini, semalam.

Yang turut hadir Naib Presiden Gerakan, G. Parameswaran dan Pengerusi Perhubungan Parti Gerakan Negeri Kedah, M. Marimuthu Selvan.

Daminic seterusnya berharap agar Menteri Tenaga Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan 42 orang ahli Parlimen dari DAP bersama enam orang menteri Kabinetnya dapat memberi perhatian dan menyelesaikan segera isu kilang haram itu.

"Di samping itu, 50 orang ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), termasuk Menteri Kesihatan, Lee Boon Chai segera melakukan sesuatu dalam menangani isu ini," katanya lagi. - UTUSAN ONLINE