Kejohanan itu terbahagi kepada dua siri iaitu siri 1 berlangsung pada 16 dan 17 Mei ini manakala siri 2 pada 23 dan 24 Mei ini di venue sama yang dijadual bermula pukul 10 malam.

Menurut Jurulatih Sepak Takraw Sukma Terengganu, Mohd. Futra Abd. Ghani, syarat wajib mengenakan pakaian menutup aurat itu sebagai menyahut seruan kerajaan negeri melaksanakan pakaian sukan patuh syariah bermula tahun ini.

MOHD. FUTRA ABD. GHANI
MOHD. FUTRA ABD. GHANI 

Beliau yang juga bekas pemain kebangsaan mengulas lanjut, syarat lain antaranya hanya terbuka kepada semua pemain atau regu di Terengganu selain tiada had kelayakan pemain dikenakan.

“Kejohanan ini juga mengehadkan kepada 24 regu terawal sahaja untuk turut serta,” katanya di sini hari ini.

Kejohanan yang dianjurkan oleh MSNT dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT) menawarkan hadiah RM500 (johan) berserta piala iringan dan medal diikuti RM300 (naib johan) dan RM100 (ketiga).

Selain itu, Mohd. Futra berkata, ini merupakan kejohanan kali ketiga diadakan pada bulan puasa dan kali ini sebagai bentuk latihan serta pendedahan kepada para pemain yang bakal menempuh beberapa kejohanan utama selepas ini.

Ia termasuklah Kejohanan Piala Emas Khir Johari di Sabah Jun nanti, Liga Sepak Takraw di beberapa negeri terpilih dari September hingga November tahun ini dan Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan.- UTUSAN ONLINE