Bertemakan bunga Anggerik, wad itu yang mempunyai 24 katil dengan bilik perseorangan akan menempatkan pesakit pembedahan dan perubatan am.

Sempena pembukaan wad itu, sebanyak 100 kek cawan yang bertemakan bunga Anggerik diedarkan kepada pesakit wad berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Seremban, Mohamad Sofian Ismail berkata, hospital itu juga akan membuka satu lagi wad baharu yang berkapasiti 24 katil, 35 klinik pakar pesakit luar dan 34 mesin dialisis pada suku keempat tahun ini.

"KPJ Seremban kini mempunyai 34 konsultan residen dan dua konsultan bermusim yang pakar dalam pelbagai bidang perubatan antaranya kardiologi, ortopedik, neurologi, urologi, oftalmologi, pediatrik, perbidanan dan sakit puan serta pembedahan am dengan gandingan 700 pekerja berpengalaman.

"Bangunan asal yang disambung ke bangunan baharu menempatkan wad dan unit lain sedang dinaik taraf seiring dengan keperluan yang semakin meningkat," katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir semasa pemberian cenderamata khas kepada para pesakit Wad Anggerik hari ini ialah para pegawai kanan KPJ Seremban terdiri daripada Pengarah Perubatan, Prof. Dr. Wan Hazmy Che Hon; Pengurus Klinikal & Operasi, Dr. Ahmad Syukri Jamaluddin; Ketua Jururawat, Suzana Kasirun dan Pengurus Kewangan, Suraya Sharif. - UTUSAN ONLINE