Sebaliknya, beliau memberitahu, tindakan yang diambil selepas perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam adalah demi kebaikan syarikat tersebut.

"Dalam perbincangan itu, timbul cadangan supaya saya lepaskan jawatan dan saya terima. Saya tiada masalah (meletakkan jawatan).

"Ini bukan soal kalah menang saya atau Datuk Zakaria Arshad (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV). Saya berhenti awal daripada yang dituduh dalam isu ini cuma persepsi masing-masing.

"Yang paling penting bagi saya adalah FGV. Saya berbincang dengan Perdana Menteri tentang FGV bukan individu. Mengenai nasib pihak satu lagi terpulang kepada siasatan yang akan dilakukan oleh syarikat. Tiada siapa kalah atau menang," ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.


Video oleh ASWAD YAHYA

Semalam Mohd. Isa melepaskan jawatan Pengerusi FGV dengan rela hati dan digantikan oleh Pengarah Bukan Eksekutif Bebas FGV, Tan Sri Sulaiman Mahbob.

Kemelut FGV timbul selepas Lembaga Pengarah meminta Zakaria dan tiga lagi pengurusan kanan diarah bercuti pada 6 Jun lalu, berikutan dakwaan wujud salah laku tadbir urus dalam syarikat terbabit. - UTUSAN ONLINE