Setiausaha Agung Vateran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, meskipun media-media lain dilihat kurang membuat liputan sepanjang perhimpunan kali ini, namun ia tidak mendatangkan masalah kepada UMNO dengan adanya Kumpulan Utusan.

“Tahun-tahun sebelum ini media lain kerap mengeluarkan cerita-cerita pendek mengenai UMNO, dan selepas perhimpunan selalunya media sibuk bertanya khabar, temuramah sana sini, tetapi tahun ini tidak ada seperti tahun-tahun sebelum.

“Dan saya secara khusus nak ucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Utusan kerana masih bersama dengan kita (UMNO) dalam saat-saat kita susah dan sukar ini,” katanya dalam sesi Sembang Online sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO 2018 telah berlangsung bermula Jumaat lalu dan melabuhkan tirainya pada hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapha memberitahu, Perhimpunan Agung UMNO kali ini langsung tidak menunjukkan sebarang perbezaan dan berjalan dengan jayanya.

“Tidak ada bezanya, kehadiran setiap hari full house, cuma kali ini persidangan berlangsung selama tiga hari sahaja kerana kami kira tempoh itu sudah cukup untuk bersidang dan membahaskan usul-usul yang perlu,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE