Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, objektif Tekun Mart Mobile ialah mendekati pengguna melalui konsep kedai bergerak dengan menawarkan harga patut yang lebih murah dan kompetitif ke arah mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, melalui inisiatif itu, orang ramai boleh membeli barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, ayam, daging, ikan dan barangan sejuk beku dengan lebih mudah selain dapat melakukan penjimatan.

"Tekun Mart Mobile juga akan memainkan peranan sebagai ejen pembekal, pengedar dan pemasaran 40 peratus produk usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) dan selebihnya adalah produk keperluan lain di pasaran.

"Inisiatif ini dapat mengurangkan kos bagi menjalankan sesebuah perniagaan kerana tiada sewa premis dikenakan serta lokasi perniagaan yang boleh berubah dan ditempatkan di lokasi strategik," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran TEKUN MART Mobile di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Redzuan, Tekun Mart Mobile akan menggunakan dua unit lori bersaiz tiga tan, dan satu unit bersaiz satu tan yang akan mula beroperasi di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, Bangi, Serdang, Kajang, Kuala Lumpur dan kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) serta pejabat kerajaan.

"Selepas ini, kita akan tambah perkhidmatan ini secara berperingkat ke beberapa negeri seperti Melaka kerana modul ini perlu diteruskan di negeri lain kerana ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

"Program ini adalah bersifat dua dalam satu iaitu membantu usahawan dan mengurangkan kos sara hidup rakyat," katanya.

Dalam pada itu katanya, sejak 1998 hingga Julai lalu, Tekun Nasional telah memberi pembiayaan perniagaan kepada 432,959 usahawan di seluruh negara membabitkan nilai RM5.53 bilion sekali gus menunjukkan komitmen agensi itu dalam membantu usahawan Melayu dan Bumiputera.-UTUSAN ONLINE