Namun, Rozali Mohamed Yunus, 38, turut berkongsi rasa terkejut apabila didekati pihak Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP untuk menyerahkan bantuan khairat kematian di bawah Skim Kafalah Muzakki berjumlah RM3,000.

Jelas Rozali, wang tersebut adalah hasil pembayaran zakat yang dilakukan arwah isterinya di bawah Skim Kafalah Muzakki sekitar Januari lalu.

“Dia (arwah isteri) pernah cerita pada saya tentang satu skim zakat, cumanya sejak bila dia buat pemotongan tu saya tak pasti. Dan pada hari pengebumian isteri saya tu ustaz Shukri (Ketua Pegawai Eksekutif PPZ) datang dan beliau cakap yang arwah isteri saya pembayar zakat di bawah Skim Kafalah Muzakki dan pihak PPZ telah hilang seorang pembayar zakat.

“Pada hari tersebut jugalah pihak PPZ serahkan wang RM3,000 kepada saya sebagai waris bagi pihak isteri,” katanya ketika ditemui pihak Utusan Online, baru-baru ini.

KEADAAN kenderaan arwah isteri Rozali yang mengalami kemalangan di Kilometer 44 berhampiran susur masuk dari arah Putrajaya ke pekan Dengkil. - UTUSAN ONLINE
 

Rozali yang berkhidmat sebagai polis bantuan di Kompleks Islam Putrajaya turut mengakui wang yang diperolehi itu banyak mambantu dirinya serta keluarga.

“Wang itu bagi saya amat besar sebab saya ada tiga orang anak sekolah. Seorang di tingkatan dua dekat Teluk Intan dan jumlah belanja bulanannya agak besar. Dua orang lagi tinggal bersama saya. Jadi duit yang arwah terima itu dapat saya salurkan untuk pendidikan anak-anak, pakaian, makanan harian dan macam-macam lagi.

“Kalau sebelum ni saya dan isteri sama-sama bekerja. Isteri uruskan belanja dapur, saya uruskan bil-bil dan kereta. Maknanya belanja bulanan tu cukup. Tapi sekarang bila dah isteri saya tiada, keseluruhannya mengharapkan dan menjadi tanggungjawab saya seorang,” tambahnya.

Pada 4 Mac lalu, arwah isterinya, Sharini Shari Pinansa, 38, terkorban dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan dua kereta di Kilometer 44 berhampiran susur masuk dari arah Putrajaya ke pekan Dengkil.

Dalam kejadian tersebut, Sharini yang memandu kereta jenis Perodua Kancil dilanggar secara tiba-tiba oleh sebuah kereta lain ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabat di Kompleks Islam Putrajaya.

Sharini yang berkhidmat sebagai Ketua Pembantu Tadbir, Bahagian Keurusetiaan dan Hubungan Luar Jakim meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit dalam kenderaanya.

Dalam pada itu, Rozali turut meninggalkan pesan kepada masyarakat berkaitan kepentingan berzakat melalui Skim Kafalah Muzakki yang ternyata membantu keluarga waris.

“Berzakat memang sangat penting kepada masyarakat dan kepada diri sendiri. Jika salah seorang meninggal dunia, ia sedikit sebanyak dapat membantu dari segi kewangan, anak sekolah dan lain-lain. Kepada yang belum berzakat, saya harap tunaikanlah.

“Untuk itu, saya sangat berterima kasih kepada pihak PPZ kerana membantu keluarga saya dengan memperkenalkan skim tersebut kepada arwah isteri saya,” ujarnya lagi.

Susulan kejadian tersebut juga, Rozali merupakan penerima pertama Skim Kafalah Muzakki PPZ-MAIWP yang dilancarkan pada 28 Februari lalu.

Skim tersebut diwujudkan bagi meringankan beban waris pembayar zakat apabila berlaku kematian kepada individu yang menunaikan Zakat di PPZ MAIWP.

Individu yang mempunyai rekod bayaran zakat harta sekurang-kurangnya RM50 pada tahun kematian atau sebelum tahun kematian layak menerima skim ini. – UTUSAN ONLINE