Itu masalah dihadapi tujuh keluarga di kampung terbabit terpaksa berhadapan dengan keadaan jalan tidak berturap yang menghubungkan rumah mereka dengan jalan ke simpang utama.  

Keluhan itu dinyatakan oleh Muhd. Shafik Hussin,  31, yang terpaksa mengharungi jalan berbatu sehingga mendatangkan risiko motosikal ditungganginya.  

“Saya kerja hantar barang jadi memang setiap hari berulang-alik menggunakan motosikal dan apabila melalui jalan ini kena perlahankan kenderaan sebab risau kalau ada benda tajam tersangkut pada tayar motor. 

“Dulu jalan ini berturap tetapi selepas ada projek persendirian, setahun kami alami masalah ini,” jelasnya ketika ditemui Utusan Online di sini hari ini.  

Bagi Azrizal Ali Akbar, 48, dia sudah maklum tentang masalah itu, namun,  belum ada sebarang tindakan segera dilakukan.  

Tegasnya,  projek persendirian yang tidak menaikkan sebarang pemakluman kepada penduduk kampung itu bukan sahaja menyusahkan ibu bapa malah, kanak-kanak yang bermain di sekitar padang tersebut.  

“Petang-petang budak bermain bola di sini terpaksa menghidu habuk daripada projek persendirian tersebut. 

“Walaupun saya dimaklumkan pemaju sudah membeli tanah itu, tapi kita tetap khuatir sekiranya pelaksanaan projek tidak mengikut garis panduan, “ ujarnya. - UTUSAN ONLINE