Semenjak klip video seks terbabit didedahkan kepada khalayak umum, ia telah menimbulkan pelbagai tanda tanya dari orang ramai khususnya mengenai status kesahihan isi kandungan yang terdapat di dalam klip video seks terbabit.

Isu klip video seks tular berkenaan perlu dilihat sebagai satu isu yang serius serta memerlukan tindakan yang serius daripada pihak kerajaan kerana ia dikatakan melibatkan seorang ahli politik yang penting dalam negara kita sekaligus boleh memberi impak terhadap kestabilan pentadbiran kerajaan dan tahap keyakinan rakyat terhadap kerajaan sedia ada.

Kemunculan klip video seks terbabit juga sudah mula mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat yang sudah jemu dengan kemunculan pelbagai jenis klip video melibatkan ahli politik dalam negara kita serta ingin mengetahui tahap kebenaran yang terdapat dalam kandungan klip video seks yang muncul baru–baru ini.

Perlu diketahui, implikasi pendedahan klip video yang memaparkan aksi seks sejenis ini boleh menjejaskan keharmonian dalam masyakarat kita yang masih berpegang teguh terhadap ajaran agama dan kepercayaan masing – masing serta budaya ketimuran yang menentang hubungan sejenis.

Pada masa sama juga, kemunculan klip video seks sejenis terbabit juga memberi contoh buruk terhadap generasi muda.

Isu penularan video klip yang memaparkan sebarang jenis aksi seks tidak boleh dibenarkan beterusan berlaku dalam negara kita.

Siasatan terperinci perlu diambil dengan segera melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi diketahui tahap kebenaran isi kandungan klip video seks terbabit serta pada masa yang sama bagi mengelakkan ianya menjadi satu fitnah yang berpanjangan dalam negara kita dan menjadi satu mainan politik oleh pihak – pihak yang tidak bertanggungjawab.

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja atau RCI terhadap isu klip video seks tular ini adalah perlu bagi menyiasat dengan lebih terperinci lagi serta bagi mencari jalan penyelesaian yang sesuai bagi memastikan isu kemunculan klip video sebegini tidak beterusan muncul dalam negara kita.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh memberi perkenan baginda terhadap perkara ini jika dimohon dari pihak kerajaan untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan seperti yang jelas termaktub dibawah di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].

Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119] terbabit jelas memperuntukkan bahawa DYMM Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh, jika didapatinya sesuai dan manfaat berbuat demikian, mengeluarkan suatu tauliah melantik seorang Pesuruhjaya atau lebih dan memberi kuasa Pesuruhjaya itu untuk menyiasat (a) kelakuan mana – mana pegawai persekutuan; (b) penjalanan atau pengurusan mana – mana jabatan perkhidmatan awam Malaysia; (c) penjalanan atau pengurusan mana – mana institusi awam yang tidak semata – mata disenggarakan dengan kumpulan wang Negeri; atau (d) apa – apa perkara lain yang siasatannya, pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, berfaedah bagi ”kebajikan awam”.

Perkataan kebajikan awam ini adalah luas yang boleh meliputi isu seperti yang telah dibangkitkan diatas.

Penubuhan sesebuah Suruhajanya Siasatan DiRaja ini bukanlah satu perkara yang baru dalam negara kita, ia telah dilaksanakan banyak kali setiap kali wujudnya isu – isu peringkat nasional yang melibatkan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan awam dalam negara kita seperti Suruhajaya Siasatan DiRaja yang melibatkan kecederaan yang berlaku pada bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1999, isu video klip Lingam pada tahun 2007, kes kematian Teo Beng Hock pada tahun 2010, Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menyiasat isu mengenai pendatang asing Sabah 2012 serta yang terbaharu melibatkan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1990an yang lalu dan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian.

Dengan adanya Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini, isu klip video seks ini dapat disiasat oleh mereka yang lebih berpengalaman dan berkepakaran.

Dengan tertubuhnya Suruhanjaya Sisatan DiRaja terhadap perkara ini juga, ia dapat menunjukkan kepada rakyat bahawa isu ini dipandang serius oleh pihak kerajaan serta perlu ditangani dengan segera.

Semoga dengan adanya Suruhanjaya Siasatan Diraja ini, semua pihak dalam negara kita dapat mengetahui dengan lebih jelas mengenai tahap kesahihan isi kandungan yang terdapat di dalam klip video seks yang menjadi tular terbabit, mengambil sebarang tindakan selanjutnya berdasarkan keputusan yang bakal diberikan terhadap status klip video seks berkenaan serta mewujukan sebarang langkah yang lebih bersesuaian bagi memastikan masalah penyebaran klip video seks tidak berterusan belaku dalam negara kita di masa akan datang.

Dr. Muzaffar Syah Mallow

Pensyarah Kanan

Fakulti Syariah & Undang – Undang

Universiti Sains Islam Malaysia

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.