Video oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB dan ZAAIN ZIN

Sultan Muhammad berlepas ke ibu negara bagi menyempurnakan istiadat mengangkat sumpah dan menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 di Istana Negara.

Seawal pukul 6 pagi, ribuan rakyat jelata terdiri daripada pelbagai kaum sambil meme­gang bendera negeri dan Jalur Gemilang mula memenuhi sepanjang jalan dari Istana Ne­geri, Kubang Kerian ke LTSIP sejauh 14 kilometer bagi meraikan keberangkatan Seri Paduka.

Ada yang tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata saat melihat pesawat khas membawa Seri Paduka berlepas kira-kira pukul 9.15 pagi.

Sebelum berlepas, Sultan Muhammad juga sempat memohon restu dan memeluk bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Turut mengiringi Seri Paduka ialah Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Dr. Muhammad Fa-iz Pet­ra; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob serta pembesar-pembesar negeri.

Terdahulu, istiadat keberangkatan Sultan Muhammad di Istana Negeri bermula seawal pukul 7.50 pagi dengan penuh adat istiadat.

Lagu Negaraku dan Selamat Sultan turut dimainkan berserta 21 das tembakan meriam.

Seri Paduka yang mengenakan persalinan rasmi Sultan Kelantan kemudian melakukan pemeriksaan kawalan kehormat merangkumi 107 anggota daripada Rejimen ke-5 Artileri Diraja Kem Desa Pahlawan yang dike­tuai Mejar, Mohd. Saiful Azly.

Sebaik sahaja selesai pemeriksaan kawalan kehormat, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad membacakan doa dan lagu Negaraku sekali lagi dimainkan sebelum Seri Paduka berangkat meninggalkan istana.