Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, projek rintis itu merupakan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyelesaikan isu penempatan nelayan yang lama hidup dalam keadaan tidak sempurna.

“Perumahan Muafakat Kedah ini mendapat peruntukan seba­nyak RM48 juta yang memberi manfaat kepada 300 keluarga.

“Perumahan ini siap mula diduduki sejak awal tahun ini dengan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan serbaguna, surau, tadika, gelanggang futsal, taman permainan dan rumah kedai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Perumahan Muafakat Kedah oleh Perdana Menteri di Tanjung Dawai di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Menurut Ahmad Shabery, sejak dimulakan pada tahun 2012, kerajaan memperuntukkan RM197 juta bagi tujuan pembinaan PSN di seluruh negara melibatkan sebanyak 1,822 buah rumah baharu di 13 lokasi termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

“Selain itu, projek membaik pulih 18,991 rumah nelayan juga sedang dilaksanakan dengan per­untukan sebanyak RM194 juta seluruh negara.

“Bagi Kedah, peruntukan sebanyak RM18.3 juta dengan 1,967 rumah nelayan telah dibaik pulih sejak lima tahun lalu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery memberitahu, kerajaan turut menyediakan sejumlah RM2 juta bagi tujuan pembinaan jeti baharu di beberapa lokasi di Kedah untuk kemudahan kepada golongan nelayan.

“Selain itu, jeti baharu juga akan dibina di Kuala Kedah (RM400,000), Sungai Sedaka (RM270,000), Jilid 9 Segantang Garam (RM170,000) dan projek menaik taraf Pusat Pempro­sesan Hasil Perikanan (PPHP) Tanjung Dawai (RM160,000),” jelasnya.

Beliau menambah, sektor per­ikanan telah menyumbang sebanyak RM14.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi subsektor perikanan dengan peningkatan sebanyak 10.1 peratus dari segi nilai berbanding tahun 2016.

“Kemudahan dan bantuan seperti jeti pendaratan, subsidi bahan api, insentif hasil penda­ratan ikan, elaun sara hidup yang disediakan dapat meningkatkan pendapatan dan produktiviti para nelayan dan seterusnya mengurangkan beban sara hidup,” katanya.