Persatuan itu yang diterajui oleh Hisham Darus sebagai Presiden, diwujudkan sebagai satu platform bagi para pemain sukan elektronik dengan nawaitu menaik taraf sukan elektronik yang mencakupi jalinan ukhwah antara pemain tanpa mengira sempadan.

Serentak dengan majlis pelancaran Persatuan E-Sports Kuala Lumpur, sejak awal pagi diadakan saringan para pemain sukan elektronik yang bertanding untuk muncul sebagai lima pemain teratas dan layak untuk mewakili negara pada temasya Sukan SEA pada November 2019.

PENGURUS BESAR Palace of the Golden Horses, Isaac Raj (dua, kanan) pada majlis pelancaran Persatuan

PENGURUS BESAR Palace of the Golden Horses, Isaac Raj (dua, kanan) pada majlis pelancaran Persatuan E-Sports Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE/HASNURUL MOHAMED

Pengurus Besar Palace of the Golden Horses, Isaac Raj dalam ucapannya berkata, dengan adanya platform sebegini, permainan sukan elektronik dapat dipertingkatkan dan merupakan satu tanda aras bagi PGH menganjurkan acara berteknologi seperti ini.

Lebih 50 orang pemain atau gamers bersaing dalam pusingan kelayakan dalam lima permainan atau games yang ditetapkan.

Sementara itu, dalam ucapannya, Hisham Darus melahirkan rasa penghargaan atas sokongan yang diberikan kepada majlis hari ini.

“E-sports ialah satu sukan baharu yang pada Gen Y, Gen Z dan milenium, ia adalah satu aktiviti main game yang melalaikan dan membebankan.

“Melalui persatuan E-Sports ini kita memberi penekanan, pendidikan dan penerangan kepada players atau pemain tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh para gamers.

“Para pemain kalau berlatih hanya empat ke lima jam sehari dan tidak lebih dari itu kerana kalau bermain game lebih lima jam sehari, itu buang masa,” kata Hisham sambil mengharapkan sokongan daripada agensi kerajaan termasuk Malaysia Digital Economy (MDEC), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta persatuan-persatuan negeri.

Dalam majlis yang sama, Khalid dalam ucapannya berkata, e-sports ialah satu cabang sukan baharu di peringkat antarabangsa.

“E-sports atau e-sukan ataupun sukan elektronik ini bukan lagi satu hobi sebaliknya ia satu industri yang tidak harus diperkecilkan atau diremehkan oleh mana-mana pihak.

“Metodologi yang betul harus diperjelaskan tentang e-sports selain daripada mengikis stigma buang masa berkaitan dengan e-sports.

“Kita perlu menolak stigma bahawa mereka yang bermain e-sports ini adalah kelompok antisosial dan tidak pandai untuk bergaul dengan orang ramai.

“Tanggapan ini harus segera diperbetulkan kerana industri e-sukan ini adalah pemain profesional yang memberi pulangan lumayan kepada para pemain atau gamers,” jelasnya.

Besar kemungkinan e-sports juga akan menjadi sukan yang dipertandingkan pada Sukan Asia Olimpik 2024 di China.

Usai majlis pelancaran, turut diadakan pelancaran jersi Persatuan E-Sports Kuala Lumpur, Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) persatuan dan penaja serta penyampaian sijil penghargaan kepada para atlet e-sports dan komuniti. - UTUSAN ONLINE