Hanya itu yang mampu diungkapkan oleh wanita Indonesia, Siti Aisyah apabila ditanya mengenai perasaannya setelah dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah atas pertuduhan membunuh Kim Jong-Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un, hari ini.

Siti Aisyah, 26, turut menyatakan hasrat untuk bertemu keluarga setelah lebih dua tahun dipenjarakan.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Presiden Joko Widodo, pihak kedutaan dan kerajaan Malaysia kerana membebaskan saya,” katanya dalam sidang akhbar di Kedutaan Indonesia, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna Laody dan Duta Besar Indonesia di Malaysia, Rusdi Kirana.

Ketika ditanya bilakah Siti Aisyah akan dibawa pulang ke Indonesia, Yasonna memaklumkan perkara itu akan diusahakan secepat mungkin.

“Kita akan usahakan untuk (Siti Aisyah) balik hari ini,” ujarnya.

Terdahulu, mahkamah hari ini melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah daripada pertuduhan membunuh Kim Jong-nam atau Kim Chol selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 16 Ogos 2018, mahkamah memerintahkan Siti Aisyah dan wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Chol.

Mereka didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pukul 9.00 pagi, 13 Feb 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Hari ini ditetapkan untuk Doan membela diri atas pertuduhan itu. - UTUSAN ONLINE