Video oleh AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

Mereka kini hidup dalam keadaan terumbang-ambing memandangkan tanaman getah untuk tanah rancangan itu masih dalam proses tanaman semula sejak Ogos 2015.

Sebelum ini semua 100 keluarga itu menerima elaun sara hidup berkenaan sejak projek tanam semula dilakukan tetapi ia terhenti mulai Ogos tahun lalu.

KAMARUZAMAN A. LATIFF
KAMARUZAMAN A. LATIFF 

Ketua Peserta Felcra Rompin, Kamaruzaman A. Latiff berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk menyelesaikan masalah itu dengan menemui para pegawai Felcra di ibu pejabat agensi itu di Kuala Lumpur dan mereka dijanjikan bayaran tersebut dilunaskan.

"Namun, sehingga kini, janji hanya tinggal janji dan kami kini mengalami kesempitan hidup yang amat perit. Ada yang sudah menjual motosikal dan kereta. Ada yang kena potong bekalan air dan api. Nak makan pun susah, tak ada duit.

"Kepada siapa kami hendak mengadu lagi. Tolonglah pandang kami," katanya yang tidak dapat menahan air mata dalam sidang akhbar di sini semalam.

Sidang akhbar itu sempena Majlis Merungkai Isu Sara Hidup Felcra Rompin bersama Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif.

Mohd. Salim yang hadir berkata, beliau hiba membayangkan kesengsaraan dialami 500 penduduk tanah rancangan itu yang hampir kesemuanya bergantung kepada hasil getah sebagai pendapatan menampung kehidupan.

Katanya, para peserta berkenaan sepatutnya menerima elaun sara hidup sebanyak RM800 sehingga pokok getah yang ditanam semula matang dalam tempoh enam tahun dan boleh ditoreh.

"Saya menggesa isu ini diselesaikan segera. Saya telah melihat sendiri bagaimana penduduk di sini terpaksa berhempas pulas hanya untuk menjalani hidup hari demi hari. Mereka tidak ada pendapatan lain.

"Ini bukan isu politik sama sekali. Ini isu kehidupan rakyat. Bukan semua peserta di sini penyokong pembangkang tetapi kesusahan yang dialami melibatkan semua orang tanpa mengira bangsa dan fahaman politik," katanya.

Sempena lawatan itu, Mohd. Salim turut menyampaikan beras seberat 10 kilogram kepada semua 100 keluarga terbabit. - UTUSAN ONLINE