Beliau bukan ahli politik atau artis tetapi peguam terkenal dalam isu hak asasi manusia selain pejuang hak Orang Asli. Di samping beliau, ada lagi seorang peguam terkenal yang terlibat dengan pertubuhan pilihan raya yang cenderung pada Pakatan Harapan (PH).

Difahamkan video itu pada acara makan malam Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu. Yang hadir ramai, mewakili kerangka perundangan negara iaitu hakim, pegawai perundangan dan juga peguam.

Namun kerana Tommy sekarang adalah Peguam Negara, perkara itu jadi perhatian serius dalam media sosial, berbeza jika beliau sekadar seorang pemilik firma guaman.

Ada yang cuba jadikannya isu apatah lagi ramai masih kurang bersetuju dengan pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam hal ini, ramai peguam memberi respons supaya tidak mencampuradukkan dua isu. Isu video menari ini secara umumnya boleh dianggap tidak ada apa-apa kalau dibincangkan dalam kerangka integriti.

Sebabnya berlaku pada majlis umum. Yang perlu dibimbangkan jika mencalarkan integriti seperti dalam kes yang pernah dilaporkan melibatkan peguam dan hakim atau pegawai perundangan kelihatan bercuti bersama atau berhibur di tempat privasi.

Jadi, kalau terima kiriman video joget itu, layan sahajalah. Tak nak tengok, dengar sahaja suara merdu Elvis Presley tarik lagu ini. Macam mana Tommy boleh layan menari bersama beberapa individu itu, anggaplah itu kenalan lamanya. Mereka juga manusia.

Cuma jika perlu, elok juga Tommy keluarkan kenyataan penjelasan sebab ramai juga yang bercakap dan warganet bukan semua peguam, mereka tidak tahu apa yang boleh dan apa yang tidak. Siti Kassim dah respons di Facebook, Tommy bila pula? - UTUSAN ONLINE