Mara menerusi kenyataan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada anggota penyelamat dan kakitangan kesihatan yang terlibat dalam memberi rawatan segera kepada pelajar MRSM yang terbabit.

“Profesionalisme yang ditunjukkan oleh kakitangan kesihatan serta anggota penyelamat yang terlibat dalam membantu mangsa kemalangan amat dihargai oleh Mara serta ibu bapa para pelajar,” menurut kenyataan itu hari ini.

Tambah kenyataan itu, enam pelajar MRSM yang cedera telah dibawa ke Hospital Jelebu, manakala lima pelajar MRSM yang cedera ringan diberi rawatan di Klinik Kesihatan Jelebu.

“Seorang pelajar tingkatan empat yang cedera turut dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban,” jelas kenyataan itu.

Seorang pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang maut manakala lebih 27 penumpang cedera selepas sebuah bas terbabas di Jalan Kuala Klawang-Seremban di Bukit Tangga, Jelebu petang tadi. - UTUSAN ONLINE