Mengusahakan ladang madu kelulut secara asalnya di Hulu Langat, kini Muhammad Sazali berjaya mengembangkan perniagaannya dengan membangunkan ladang madu kelulut seluas 50 ekar di Selangor Fruits Valley (SFV), Rawang Selangor dekat sini.

Tidak seperti kebanyakan ladang madu kelulut lain di negara ini, ladang Muhammad Sazali di SFV diusahakan di kawasan pokok Akasia Mangium yang mampu mengeluarkan banyak nektar terutama pada musim panas sekali gus meningkatkan produktivi madu kelulut.

Berikan penulis mencuba madu
MUHAMMAD Sazali Paridudin mengagihkan sampel madu yang diambil daripada propolis di Selangor Fruits Valley, Rawang semalam. - UTUSAN ONLINE/AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF

Menurut Muhammad Sazali, pemilihan lokasi itu adalah tepat kerana tuaian madu kelulut dapat dihasilkan sekitar sembilan hingga 10 kali setahun berbanding penternakan kelulut di kawasan pokok buah-buahan.

Katanya, sarang kelulut yang diusahakan beliau bersama tujuh peserta atau rakan niaga yang terdiri dalam kalangan belia di bawah K-Miss diperoleh daripada hutan di Johor yang melibatkan kos antara RM600 hingga RM3,000 bagi setiap sarang, bergantung kepada saiz dan jenis kelulut.

Antara jenis kelulut yang ada di ladang itu seperti Homotrigona Fimbriata, Tetragonula Melina, Tetragonula Testaceitarsis, Tetrigona Binghami dan banyak lagi.

“Selepas membuat keputusan untuk serius dalam bidang ini, saya lakukannya sebaik mungkin kerana menyifatkan ini sebagai hidup dan mati. Apabila ditawarkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk ladang seluas 50 ekar, kami mengambil inisiatif mengajak orang muda menyertai perusahaan ini.

“Kami cuba bantu dengan memberikan setiap seorang peserta 2.5 ekar kawasan untuk dimulakan perniagaan. Kami mengajar daripada awal hingga akhir proses penghasilan madu kelulut dan bantu mereka hasilkan produk hiliran seperti sabun, bam dan lain-lain.

“Bagi berbangga kerana ketujuh-tujuh mereka terdiri daripada kalangan belia berusia antara 22 hingga 40 tahun,” katanya kepada Utusan Online ketika ditemui di SFV.

Guna akan ukur ketumpatan air
MUHAMMAD Sazali Paridudin mengunakan alat pengukur jumlah air di dalam madu di makmal K-Miss di Selangor Fruits Valley, Rawang semalam. - UTUSAN ONLINE/AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF

Mengulas lanjut Muhammad Sazali berkata, projek madu kelulutnya mendapat pengiktirafan pelbagai pihak apabila beliau dianugerahkan memperoleh pingat emas Anugerah Inovasi Teknologi Pertanian 2016 di bawah Jabatan Pertanian.

Selain itu, pada 2017, beliau turut dipilih Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) untuk membimbing usahawan di bawah agensi tersebut.

“Saya turut membantu pakar-pakar pertanian membangunkan standard madu kelulut dengan menyediakan sampel madu dari seluruh negara. Selain itu, saya turut diberikan kepercayaan membangunkan Malaysia Good Agricultural Practices (myGAP) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya.

Sementara itu, peserta dan rakan niaga muda K-Miss, Arif Ahmad Amin, 22, berkata, golongan muda tidak perlu takut untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian seperti perusahaan madu kelulut.

Sarang madu kelulut
ANTARA kotak yang menempatkan sarang lebah kelulut di Selangor Fruits Valley, Rawang semalam. - UTUSAN ONLINE/AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF

Arif yang merupakan lulusan Diploma Pengurusan Perkapalan berkata, pada awalnya memang kerjaya itu nampak seakan sesuatu yang leceh dan remeh namun jika dilakukan dengan penuh komitmen tidak mustahil perasaan seronok menjalankan perniagaan akan muncul.

“Prospek kerjaya bagi madu kelulut begitu luas kerana boleh membesar dan mendatangkan pendapatan lumayan kepada pengusaha. Sekarang harga bagi madu kelulut sekitar RM300

“Namun, perlu diingat kerjaya ini juga mencabar kerana amat berbeza dengan teori dan praktikal ketika di kolej atau universiti. Cabarannya cukup banyak tetapi kita usah berputus ada dan cuba belajar banyak perkara baharu dan kejayaan akan menyusul,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE