Beliau mengakui pendiriannya berhubung operasi Lynas berubah dan berlapang dada untuk menerima hakikat bahawa persepsi negatifnya terhadap kilang berkenaan adalah tidak betul.

Andansura berkata, beliau menentang pembukaan kilang Lynas pada 2012 berdasarkan data sejarah dan pengalaman pihak lain berhubung kesan dialami dengan kilang penapis nadir bumi sebelum ini di Bukit Merah, Perak dan kebocoran radiasi yang berlaku di Fukushima, Jepun akibat kejadian gempa bumi serta tsunami.

"Tetapi kerajaan pada masa itu meneruskan sehingga Lynas beroperasi dan kita kena terima kilang berkenaan sudah ada di situ. Kemudian kita kena tengok apa kesannya.

"Saya memantau sendiri dari semasa ke semasa sejak tahun pertama dan tiada perubahan persekitaran untuk air, udara serta tanah. Sekarang sudah tujuh tahun dan saya mendapati memang saya mungkin silap dalam membuat andaian pada awal dulu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai program Ceramah Perdana dan Solat Hajat anjuran Lynas di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 di sini malam tadi.

Sempena program itu, kira-kira 1,500 jemaah menunaikan solat hajat antara lain bagi memohon mempermudah segala urusan

Lynas dan dapat beroperasi seperti biasa selain memberi hidayah kepada pihak-pihak yang memandang serong terhadap kewujudan syarikat berkenaan.

Program itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, ucapan alu-aluan oleh wakil Lynas diikuti ceramah oleh Imam Masjid Negeri, Datuk Badli Shah Alauddin dan penceramah jemputan, Zul Ramli M. Razali bertajuk 'Fitnah, Bencana Akhir Zaman.'

Andansura yang menjadi wakil rakyat Beserah iaitu kawasan terletak berhampiran Lynas sejak 2013 percaya ramai dalam kalangan mereka yang menentang pembukaan kilang itu dahulu mendapat persepsi yang salah mengenainya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri berharap rakan-rakan yang pernah bersamanya menentang operasi Lynas supaya kembali kepada realiti bahawa ia tidak sepertimana yang disangkakan.

"Cakap-cakap sebelum ini hanya andaian dan mencipta persepsi tidak betul. Saya harap semua pihak melayan semua pelabur dengan adil dan tidak hanya kita tujukan tekanan kepada Lynas.

"Kewujudan Lynas juga memberi kesan yang besar kepada sosial ekonomi penduduk setempat dengan mewujudkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan tidak termasuk perniagaan hiliran di sekitar kawasan itu," katanya. - UTUSAN ONLINE