Itu adalah rutin harian Md. Akhir Bakar,66, sejak 10 tahun lalu tanpa mengenakan sebarang bayaran, dengan hasrat dia dapat melihat kanak-kanak berkenaan berjaya dalam sukan yang begitu dicintainya itu pada masa hadapan.

Sejak tempoh itu, Md. Akhir yang sentiasa ditemani isterinya, Che Ma Man, 63, telah melatih ribuan kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun sehingga ada di antara mereka yang telah berjaya di dalam sukan berkenaan.

Segala kelengkapan untuk melatih kanak-kanak tersebut dibeli sendiri oleh Md. Akhir dan dibantu oleh keluarga yang menghantar anak mereka melalui sumbangan ikhlas setiap kali menjalani latihan bersama warga emas itu.

Setiap petang, lebih 30 orang kanak-kanak dari seluruh negeri ini yang dihantar oleh keluarga untuk belajar bermain bola di situ.

Bagi Md. Akhir yang pernah mewakili pasukan Perlis dari 1971 sehingga 1979 itu, bola sepak adalah 'hidupnya' dan ilmu serta kemahiran yang ada padanya akan dicurahkan kepada kanak-kanak yang menjadi anak didiknya itu.

Md. Akhir ketika ditemui berkata, dia mengajar kanak-kanak berkenaan pada setiap hari bermula pukul 5.30 sehingga 7 petang dengan lebih 30 kanak-kanak menyertai sesi latihan tersebut pada satu-satu masa.

Katanya, selain mengajar teknik-teknik asas serta kemahiran dalam sukan berkenaan, dia juga banyak mendidik kanak-kanak itu bagi menjadi seorang pemain yang serba boleh.

"Setiap hari, keluarga kanak-kanak ini datang hantar anak berlatih dengan saya. Selalunya ada (keluarga) beri RM5 setiap kali latihan dan duit itu dikumpul untuk membeli kelengkapan seperti bola, menguruskan padang dan sebagainya.

"Bagi saya, menjadi satu kepuasan dapat mengajar kanak-kanak ini bermain bola. Kalau boleh, jika ada mana-mana pihak yang ingin membantu daripada segi menyediakan kelengkapan dan sebagainya, saya sangat menghargainya.

"Ini kerana apa yang diusahakan saya selama ini adalah hasil inisiatif sendiri," kata bapa kepada lima orang anak itu yang salah seorangnya adalah pemain futsal kebangsaan.

Sementara itu, seorang bapa, Zainordin Nayan,30, berkata, dia menghantar anaknya berusia lapan tahun berlatih di situ sejak Disember tahun lalu dan kini dapat dilihat banyak perubahan dalam permainan anaknya itu.

"Saya melihat inisiatif yang diambil oleh jurulatih Md. Akhir ini cukup baik dan memberi faedah kepada kanak-kanak ini. Sejak daripada dahulu, Md. Akhir ini cukup dikenali dan sangat berminat dengan dunia bola sepak. Ilmu yang dimilikinya dicurahkan kepada anak-anak ini," katanya.- UTUSAN ONLINE