Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, skim itu turut memberi fokus kepada saringan kesihatan iaitu pengesanan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) dengan lebih awal.

“Berbanding Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam), Peka B40 ditawarkan kepada penerima BSH berumur 18 hingga 55 tahun dan kepada penghidap daripada salah satu 36 jenis penyakit kritikal.

“MySalam dan Peka B40 ini akan saling melengkapi antara satu sama lain. Kedua-dua skim ini berkongsi prinsip sosial yang sama iaitu memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan diperlukan, mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian mySalam di sini hari ini.

Menurut Dzulkefly, pengumuman skim Peka B40 yang merupakan satu projek perintis kerajaan melibatkan peruntukan sebanyak RM100 juta akan diumumkan dalam satu sidang media khas pada 28 Januari ini.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, skim mySalam merupakan satu langkah awal yang baik dalam usaha menggalakkan kerjasama awam dan swasta bagi menjayakan agenda sosial negara.

Ujarnya, inisiatif itu akan membantu meringankan beban rakyat kumpulan B40 apabila berhadapan salah satu 36 penyakit kritikal atau apabila dimasukkan ke hospital.

“Usaha seperti ini patut dipergiatkan sebagai satu tanggungjawab korporat untuk menyumbang kepada masyarakat, terutamanya dengan fokus menambah baik kesihatan rakyat.

“Ini akan memberi impak jangka panjang dengan melahirkan tenaga kerja yang lebih produktif di negara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE