Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, konflik yang berlaku dalam parti itu tiada kena mengena dengan sokongan penuh seluruh anggota dan ahli Parlimen PH terhadap Dr. Mahathir.

“Ia tiada kena mengena dengan kedudukan Perdana Menteri dan Pengerusi PH, tiada kaitan dengan kedudukan beliau sebab Dr. Mahathir telah mendapat sokongan penuh daripada ahli-ahli Parlimen termasuk sokongan bulat anggota PH.

“Ini isu yang dibina, ada peristiwa, ada pendedahan, aduan polis dibuat dan siasatan dibuat. Itu sahaja,” katanya selepas menyempurnakan Program Citarasa Malaysia sempena Kempen Beli Barangan Malaysia di Tesco Extra, Mutiara Damansara, dekat sini hari ini.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diminta mengulas kesan daripada kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau menerima sokongan penuh daripada ahli Parlimen PH untuk menggantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. - UTUSAN ONLINE