Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bajet tersebut merangkumkan semua idea dan cadangan yang disumbangkan oleh pelbagai lapisan rakyat dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Malah, se­perti yang di­nya­ta­kan Najib sendiri dalam pem­bentangannya, Bajet 2018 me­ngambil kira kepentingan ba­yi yang masih dalam kandungan se­hing­ga ke soal masa depan negara.

“Inilah belanjawan yang tidak pernah diperucapkan sedemikiannya, semenjak saya ambil alih tampuk kepimpinan negara ini kerana ia bersifat holistik dan sarat dengan falsafah dan secara peribadinya boleh ditanda sejarah menjadi ibu segala bajet,” katanya.

Pembentangan Bajet 2018 juga menyaksikan sebahagi­an besar menteri Kabinet dan Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ‘bersepakat’ memilih pa­kaian berwarna biru, sama se­perti warna baju Melayu yang dipakai oleh Perdana Menteri.

Najib ju­ga sentiasa tenang sepanjang pembentangan Bajet 2018 mulai pukul 3.30 petang hingga 6 pe­tang walaupun wakil-wakil pembangkang cuba mencetuskan kekecohan.

Pelbagai insentif baharu yang diumumkan Perdana Menteri pasti memberi kegembiraan ke­­pa­da rakyat khususnya di pe­ring­kat akar umbi seperti menghadiahkan RM200 untuk setiap anak Malaysia yang dilahirkan selepas 1 Januari tahun depan se­hingga 2022 melalui skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).

Turut diumumkan adalah ban­tuan khas kepada pesawah sebanyak RM600 manakala penjawat awam, ketua kampung, tok batin, guru kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA), takmir, imam, bilal serta siak bakal menerima RM1,500.

Bajet 2018 bukan sahaja mengekalkan inisiatif Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) malah menyaksikan pemberian khas kepada golongan pesara seba­nyak RM750 serta kenaikan elaun warga emas kepada RM350.

Tidak ketinggalan, golongan orang kurang upaya (OKU) turut menikmati kenaikan elaun sebanyak RM50.

Selain itu, geran sepadan ber­nilai RM500 akan diberikan kepada pencarum Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia (SSP1M) serta pengurangan kadar cukai pendapatan individu seperti yang diumumkan Najib mampu meningkatkan pendapatan boleh guna antara RM300 hingga RM1,000.

Kesimpulannya, Bajet 2018 yang berteraskan lapan tunjang utama turut memberi tum­puan kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif serta insentif yang berupaya menyumbang kepada merancakkan kemakmuran sosioekonomi negara dalam usaha mencapai aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).