Menurut Pengerusi Pemegang Lembaga Amanah Yayasan EMKAY, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar, kolaborasi di antara Yayasan EMKAY (YE), Pulau Banding Foundation (PBF) dan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi pendidikan mampu menaikkan imej dan reputasi Hutan Belum-Temenggor supaya setanding dengan Hutan Amazon di Amerika Selatan, dan Serengeti di Tanzania.

"Harapan saya tinggi, supaya kita dapat cakapkan kepada dunia, bahawa khazanah ini bukan hanya milik rakyat Malaysia sahaja, tetapi kepada seluruh dunia.

"Kita semua mempunyai tanggung jawab untuk memelihara kelangsungan Hutan Belum-Temenggor dan Orang Utan, kerana satu hari nanti ia akan pupus jika kita tidak ambil berat (bersama-sama)," kata Mustapha Kamal pada majlis pelancaran program kolaborasi ketiga-tiga yayasan tersebut bersama UiTM dan penyerahan biasiswa Yayaan Emkay kepada pelajar UiTM, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof. Dr. Mohd. Azraai Kasssim.

Dalam majlis tersebut, seramai tujuh orang pelajar UiTM - empat di peringkat kedoktoran manakala tiga lagi dalam ijazah sarjana - menerima biasiswa berjumlah RM1.03 juta sumbangan yayasan tersebut.

Tajaan biasiswa ini merangkumi elaun sarahidup, yuran pengajian dan kos pembelian barangan pembelajaran adalah bagi memudahkan mereka melakukan penyelidikan.

Kolaborasi ini merupakan satu ikhtiar bagi menyokong usaha institusi pendidikan dalam menghasilkan bahan ilmiah bagi mengangkat kedudukan Hutan Belum-Temenggor dan orang utan, satu spesis primat yang hanya wujud di Sumatera dan Kalimantan.

Sementara itu, Hutan Belum-Temenggor yang meliputi kawasan seluas 300 ribu hektar merupakan kawasan hutan dara yang bercantum dengan kompleks hutan yang lain, dan dengan ekosistem yang dilaporkan berusia lebih daripada 130 juta tahun, lebih tua daripada Hutan Amazon di Amerika Selatan. - UTUSAN ONLINE