Pakar Perunding Radiologi HKL, Dr. A. Shantini berkata, HKL merupakan satu-satunya hospital di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan yang menerima mesin tersebut dan kemudahan baharu itu bakal memberikan keputusan yang lebih tepat berbanding mesin mamogram dua dimensi (2D) yang digunakan sebelum ini.

“Mesin 3D ini mampu memberikan keputusan yang lebih jelas apabila dapat mengesan barah melalui lapisan setebal satu milimeter yang dibahagi kepada setiap payudara untuk memastikan setiap kelenjar tisu susu diperiksa.

“Melalui kaedah tersebut, barah payudara dapat dikesan dengan cepat dan tepat, malah pandangan visualnya lebih terang mampu memudahkan pengesanan ketumbuhan barah dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di HKL, di sini hari ini.


Video oleh SAJIDA ASARULAH KHAN

Yang turut hadir, Ketua Unit Pembedahan Payadara dan Endokrin HKL, Dr. Nor Aina Emran; Pakar Bedah Am Jabatan Pembedahan Am, Dr. Nor Azham Hakim Darail serta Pakar Perunding Patologi HKL, Dr. Noraini Mohd. Dusa.

Tambah Dr. Shantini, mesin 3D akan digunakan dalam masa terdekat tidak menggunakan tekanan yang kuat pada payudara dan ia boleh mengurangkan rasa kurang selesa ketika pemeriksaan dijalankan.

“Oleh itu kita berharap wanita menggunakan peluang itu untuk melakukan pemeriksaan mamogram 3D bagi memastikan pengesanan awal barah payu dara dapat dibuat,” katanya.

Jelas Shantini, wanita disaran untuk membuang perasaan malu dan takut untuk membuat pemeriksaan kanser payudara kerana sikap mereka yang tidak mengambil berat soal pemeriksaan hanya akan merugikan diri sendiri.

“Kebanyakan mereka hanya datang ke hospital apabila keadaan mereka sudah teruk, ada yang sedar terdapat ketulan tetapi enggan berjumpa doktor kerana takut melakukan pembedahan,” katanya. - UTUSAN ONLINE