Selepas penerbangan pertama KT1 tiba di Madinah pada 4 Julai lepas, setiap hari dua penerbangan membawa jemaah haji bertolak dari Malaysia menggunakan pesawat Malaysia Airlines dan Flynas Arab Saudi.

Menurut Tabung Haji, sehingga 1 pagi hari ini, sebanyak 22 penerbangan telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan 20 daripadanya telah tiba di Madinah.

"Daripada keseluruhan 9,363 jemaah, 4,653 daripadanya telah tiba di Mekah dan bakinya di Madinah," kata kenyataan akhbar agensi itu di sini, hari ini.

Penerbangan terakhir membawa jemaah ke Madinah pada 17 Julai ini dengan penerbangan dari KLIA selepas itu akan terus ke Jeddah dan jemaah akan dibawa terus ke Mekah.

Di Mekah, jemaah akan tinggal di 13 bangunan atau hotel yang mempunyai sembilan maktab dan dibahagikan kepada empat zon.

Setiap maktab menempatkan 3,270 jemaah dan jarak antara maktab-maktab dengan Masjidilharam adalah antara 600 dan 900 meter. - UTUSAN ONLINE