Pengarah Perhilitan negeri, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, proses pemindahan gajah jantan itu dibantu oleh dua ekor gajah lain bernama ‘Abot’ dan ‘Rambai’ yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) bagi tujuan 'memujuk'.

Menurut beliau, haiwan liar berusia kira-kira 15 tahun itu ditangkap pada malam Khamis lalu di kawasan kampung berkenaan selepas menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai gangguan gajah.

"Gajah ini dipercayai tinggal di kawasan hutan simpanan kekal berdekatan dan keluar dari hutan itu pada waktu malam sebelum masuk ke kawasan kampung untuk mencari makanan. Ini telah menyebabkan penduduk berasa bimbang.

"Gajah tersebut (setelah ditangkap) kemudian dibawa ke Hutan Simpan Royal Belum menggunakan lori dan akan dilepaskan di habitat baharunya itu yang lebih selamat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Jamalun Nasir, penduduk telah membuat aduan mengenai gangguan gajah itu sejak dua tahun lalu sebelum pihak Perhilitan membuat pemantauan dan mencari kaedah sesuai untuk menangkapnya.

"Bentuk muka bumi kawasan ini yang berbukit, menyukarkan kita untuk menangkap haiwan itu dan kita perlu membuat persediaan bagi mengelakkan risiko keselamatan kepada anggota kita dan gajah itu sendiri,” katanya.

Ujar beliau lagi, selain daripada gajah yang telah ditangkap itu, terdapat gangguan daripada gajah lain di situ memandangkan kampung tersebut mempunyai banyak sumber makanan termasuk kelapa sawit, kebun pisang dan buah-buahan. - UTUSAN ONLINE