Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Zahira Mohd. Radzi berkata, Supermoon adalah satu fenomena astronomi di mana bulan akan berada di kedudukan paling hampir dengan bumi (perigee) padam 7.24 malam ini dan seterusnya berada pada fasa penuh atau purnama pada 9.54 malam.

Katanya, kejadian ini dikenali sebagai bulan penuh ‘Perigee’ bagi ahli astronomi dan istilah ‘supermoon’ dalam kalangan masyarakat umum dan dalam tempoh tersebut, kedudukan bulan pada kali ini paling hampir dengan bumi sejak 68 tahun lalu.

“Fenomena tersebut bo­leh dilihat pada hari ini me­mandang­kan keadaan bulan di kedudukan perigee ketika fasa purnama akan menyebabkan ia kelihatan seolah-olah lebih besar dari keadaan biasa, walau bagaimanapun saiz fizikal bulan sebenarnya tidak berubah sama sekali.


Video oleh MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

“Kejadian sebegini pernah berlaku di Malaysia pada 6 Mei 2012; 23 Jun 2013; 10 Ogos 2014 dan 28 September 2015 lalu, namun kejadian kali ini merupakan supermoon kerana bulan akan berada pada jarak paling dekat dengan bumi maka rakyat Malaysia perlu mengambil ke­sempatan ini untuk menyaksikannya kerana ia dijangka akan berlaku semula pada 18 tahun akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata ketika mengulas fenomena Supermoon yang akan berlaku pada malam ini dan dapat dilihat di seluruh negara.

Selain itu, Pensyarah Kanan Program Astronomi Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Raihana Abdul Wahab berkata, fenomena ini adalah bukti kekuasaan Allah dalam menetapkan peredaran bulan mengelilingi orbit sebagaimana yang terkandung di dalam kitab suci al-Quran.

Menurutnya, pada malam ini, kedudukan bulan dengan bumi sangat hampir dan orang ramai tidak perlu bimbang kerana tidak akan berlaku perlanggaran dengan bumi disebabkan ia akan beredar mengikut orbit dan perjalanan yang ditetapkan.

“Bukan itu sahaja, ini juga merupakan peluang terbaik ke­pada mereka untuk melihat le­bih jelas mengenai struktur yang terdapat di permukaan bulan termasuklah melihat kawah di bulan dengan lebih jelas.

“Maka, orang ramai disarankan tidak melepaskan peluang ini yang berlaku amat jarang sekali untuk melihat tanda kebesaran Allah dalam mencipta dan mentadbir alam semesta,” jelasnya.