Majistret Khir Nizam Jemari membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat keenam-enam lelaki itu sehingga Sabtu ini.

Terdahulu, kesemua suspek yang berpakaian lokap SPRM tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9 pagi.

Kesemua suspek yang berusia antara 34 tahun dan 84 tahun dengan dua daripada mereka merupakan bapa dan anak itu ditahan di Petaling Jaya, Selangor dan Ibu Pejabat SPRM di sini antara pukul 12.45 tengah hari dan 4 petang semalam.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, lima daripada suspek merupakan pengarah di lima syarikat di ibu negara dan Sela­ngor manakala seorang lagi bekas pengarah.

Menurut beliau, siasatan pihaknya merangkumi penerimaan bayaran menerusi transaksi wang kira-kira RM200 juta kepada lima syarikat iaitu masing-masing menerima kira-kira RM68 juta, RM62 juta, RM42 juta, RM16.5 juta dan RM8.5 juta.


Video Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

Beliau berkata, SPRM turut merampas beberapa dokumen penting daripada tiga syarikat berkaitan bagi membantu siasatan.

“SPRM juga sedang mengesan seorang lagi pengarah syarikat bergelar Datuk, yang dipercayai berada di luar negara.

“Pasukan penyiasat juga membeku sembilan akaun peribadi dan syarikat bernilai RM39 juta milik semua suspek yang ditahan bagi membantu siasatan,” kata­nya.

Penjualan tanah seluas 880 hektar kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion itu mencetuskan kontroversi dan menimbulkan persoalan pelbagai pihak termasuk peneroka.

Pada November tahun lalu, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Generation2u United Club dan Persatuan Pemuda Kampung Lindungan 565 membuat laporan kepada SPRM meminta siasatan dijalankan jika terdapat unsur rasuah mengenai isu tanah di mukim Ijok yang diberikan oleh kerajaan PKR Selangor kepada dua syarikat.

Tanah seluas 880 hektar itu dibeli oleh dua syarikat, LBCN Development Sdn. Bhd., dan Mujur Zaman Sdn. Bhd., pada 1998, namun dirampas kerajaan negeri itu pada 2008 mengikut Kanun Tanah Negara berikutan pelanggaran syarat dan terma perjanjian