Dalam video yang dimuat naik dalam laman Facebook milik beliau, Perdana Menteri dilihat mengamati reka bentuk luaran model terbaharu proton itu sambil diberikan penerangan mengenai kereta berkenaan oleh Pengarah Kejuruteraan Proton, Hazrin Fazail Haroon.

Turut kelihatan dalam video berdurasi 41 saat itu ialah Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Radzaif Mohamed.

Dr. Mahathir kemudiannya memandu sendiri kereta berwarna merah itu di sekitar ibu negara dengan diiringi tiga lagi orang dalam kereta itu.

Proton melancarkan versi terkini Saga itu pada 6 Ogos lepas dalam tiga varian pada harga bermula RM32,800 seunit (Standard MT), RM35,800 (Standard AT) dan RM39,800 (Premium AT).

Versi terbaharu model ikonik dan terlaris Proton itu disuntik dengan ciri-ciri seperti gaya baharu, kotak gear automatik empat kelajuan dan ciri pintar pertama dalam kelasnya yang tidak hanya membezakan Saga dengan pesaing tetapi turut meningkatkan nilainya.

Di bahagian luar, Saga 2019 dilengkapi bampar hadapan baharu lebih agresif dengan lampu nyalaan siang, bahagian gril dengan corak ‘infinitive weave’ yang diperkenalkan sebelum ini dalam model PROTON X70, Iriz dan Persona 2019.

Model pertama Proton iaitu Proton Saga dilancarkan secara komersil pada 9 Julai 1985.

Nama Saga diilhamkan oleh Allahyarham Ismail Jaafar, seorang anggota tentera, ketika peraduan untuk menamakan kereta Proton yang pertama. Nama itu diambil daripada Saga (Adenanthera pavonina), sejenis biji benih yang biasa ditemui di Malaysia. - BERNAMA