Video oleh HAKIMI ISMAIL

Perkara itu diakui sendiri oleh pakar tulang kaedah perubatan terapi Cina Tit Tar, Datuk Chris Leong yang ditahan Jabatan Imigresen Indonesia di Palembang, Indonesia selama dua bulan bersama 15 lagi sukaralewannya.

Chris atau nama sebenarnya, Leong Kong Yan, 43, berkata, rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara perlu mematuhi segala peraturan dan menjadikan pengalamannya bersama rakan-rakan sebagai pengajaran.

“Apa yang berlaku kepada saya dan para sukarelawan ialah lebih kepada salah faham serta masalah dokumen. Kami ke Palembang ialah untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan dan bukannya menjalankan aktiviti perniagaan.

“Kes ini telah ditutup kerana siasatan pihak berkuasa Indonesia mendapati kita telah melakukan banyak kerja-kerja kebajikan sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Chris bersama sukarelawannya yang terdiri daripada 15 rakyat Malaysia, tiga warga Hong Kong dan seorang warga Belgium ditahan Jabatan Imigresen Indonesia pada 9 Januari lalu kerana melanggar peraturan visa melancong.

Menurut Chris, beliau dan sukarelawannya telah diberikan layanan yang baik serta secara profesional sepanjang ditahan di republik berkenaan, selain tiada sebarang sekatan sekiranya ingin ke Indonesia semula selepas ini.

“Kami ditahan dua bulan kerana proses siasatan perlu meneliti pelbagai dokumen. Terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Indonesia yang banyak membantu sepanjang saya dan sukaralewan yang lain ditahan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaacob berkata, kes tersebut perlu dijadikan pengajaran oleh rakyat Malaysia agar sentiasa menghormati undang-undang negara lain.

“Semua rakyat Malaysia perlu sedar bahawa menggunakan visa pelancong untuk melakukan aktiviti yang bersifat perniagaan adalah dilarang dan dalam kes ini, pihak berkuasa Indonesia amat tegas mengenainya.

“Mungkin Chris Leong anggap apa yang mereka lakukan adalah kebajikan sedangkan di pihak Indonesia, visa pelancong tidak boleh digunakan untuk tujuan lain,” katanya.

Muhammad Shahrul Ikram berkata, selepas disiasat selama dua bulan dan atas rayuan yang dibuat kementerian, kesemua mereka dibebaskan apabila pihak berkuasa Indonesia memutuskan tidak meneruskan kes itu ke mahkamah. - UTUSAN ONLINE