Bangkit daripada kegagalan, pemilik jenama Perfume Heaven itu sedar bahawa akibat daripada kurangnya ilmu pengetahuan menyebabkan dia gagal dalam perniagaannya dahulu.

Bertitik tolak daripada itu, dia kemudiannya mencari ‘guru’ yang benar-benar boleh membantunya membina semula perniagaannya.

Muhamad Sharizal berkata, pelbagai program usahawan telah disertainya namun yang paling berkesan dan memberi impak kepada perniagaannya adalah program eUsahawan anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Sejak menyertai program eUsahawan MDEC dua tahun lalu, pendapatan perniagaan saya meningkat secara drastik.

“Sebelum terlibat dengan program tersebut pendapatan bulanan saya sekitar RM30,000 sebulan dan kini meningkat dengan mendadak iaitu RM300,000 hingga RM600,000,” katanya ketika ditemui di Pejabat Utusan Malaysia di sini.

Jelasnya, sepanjang menjalani latihan dalam program tersebut, dia didedahkan dengan jualan secara dalam talian terutamanya videografi, copy writing, perakaunan, membina laman web dan sebagainya.

“Alhamdulillah dengan ilmu-ilmu yang diberikan, daripada ‘zero’ dalam perniagaan dalam talian, tahun lalu saya dinobatkan sebagai Wira Digital daripada 100,000 usahawan yang dilatih oleh MDEC.

“Selain peningkatan daripada jualan secara dalam talian, carian di google juga meningkat dalam tempoh setahun iaitu 2.4juta orang,” ujarnya.

Mengulas mengenai perniagaannya, Muhamad Sharizal berkata, syarikatnya yang beroperasi di Bukit Beruang, Melaka itu menguruskan 100 kontrak komponen tulen (OEM) wangian di seluruh negara dan juga antarabangsa.

“MDEC telah membantu kami memasarkan produk wangian di tujuh buah negara iaitu Afrika Utara, Indonesia, Brunei, Singapura, China, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Alhamdulillah kami juga akan memasuki pasaran di Paris Ogos ini. Selain daripada itu kami juga telah terpilih untuk menyertai Syarikat gergasi e-dagang China, Alibaba di bawah Gold Member untuk Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ),” katanya.

MDEC juga berjaya membantu Beanahomequran meningkatkan pendapatan syarikat tersebut sehingga lima kali ganda menerusi program Level Up yang dianjurkan tahun lalu. 



Pengasas Beanahomequran, Anna Rosdijanti Ahmat Rusdi berkata, sebagai sebuah syarikat yang mempunyai pasaran khusus (niche market) iaitu menyediakan perkhidmatan mengaji al-Quran di rumah, dia memerlukan satu platform yang boleh membantunya melonjakkan perniagaannya ke peringkat yang lebih tinggi.



“Alhamdulillah dengan menyertai program Level Up anjuran MDEC, perniagaan saya bertambah baik dan semakin dikenali.


“Dalam program tersebut kami (usahawan-usahawan) dibantu dari segi bagaimana untuk membina jenama secara kukuh, menggunakan platform pemasaran yang berbeza seperti Youtube, Facebook, Instagram dan bagaimana untuk bercakap dengan pihak media,” katanya ketika ditemui di Kota Damansara.



Anna Rosdijanti berkata, berbeza dengan program-program di luar, MDEC menyediakan program secara percuma kepada peserta. 



“Menerusi program ini, MDEC menaik taraf logo, video korporat, laman web Beanahomequran dengan lebih menarik sesuai dengan visi dan misi kami.



“Selain itu kami juga diberi pendedahan dan maklumat terperinci mengenai teknik pemasaran yang betul dan berpeluang berguru dengan mentor yang mahir mengenai perniagaan yang kami jalankan,” ujarnya. 


Mengulas mengenai perkhidmatan yang ditawarkan, Anna Rosdijanti berkata, syarikatnya menawarkan perkhidmatan mengajar mengaji al-Quran secara peribadi di rumah di Kuala Lumpur, Klang dan Putrajaya.



“Pelanggan boleh memilih sendiri hari dan waktu tertentu dan tenaga pengajar kita akan datang ke rumah atau lokasi yang juga ditetapkan oleh pelanggan.



“Setakat ini Beanahomequran mempunyai 65 tenaga pengajar yang berada di sekitar Lembah Klang. Harga juga berpatutan iaitu RM60 bagi seorang hingga dua orang kanak-kanak selama satu jam, manakala RM70 bagi dewasa,” katanya.



Ditanya mengenai perancangan di masa hadapan, katanya, dia menyasarkan Beanahomequran akan berada di 14 buah negeri dalam masa tiga tahun ini.



“Kami juga berharap perkhidmatan mengaji al-quran ini boleh sampai ke luar negara seperti Brunei dan Singapura di mana kami ingin menunjukkan bahawa al-quran tidak akan mati dengan kemodenan hidup seharian,” ujarnya.



Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan Beanahomequran boleh layari laman web www.beanahomequran.com atau boleh hubungi 011-52234111. – UTUSAN ONLINE