Dipercayai video pergaduhan tersebut dirakamkan di Masjid Tinusa 2, Sandakan, Sabah sebelum berlangsungnya solat Jumaat, semalam.

Punca berlakunya kejadian itu tidak dapat dipastikan namun berdasarkan kepada video tersebut berkemungkinan besar berkaitan isu kewangan masjid yang didakwa tidak diurus dengan telus.

Pada awal video berdurasi empat minit 22 saat itu, berlaku adegan tolak-menolak di antara seorang lelaki berbaju Melayu berwarna hijau dengan seorang lagi jemaah berbaju hitam sebelum kedua-dua mereka saling menerpa serta berbalas tumbukan.

Bagi mengelakkan keadaan menjadi tidak terkawal sebilangan ahli jemaah masjid bertindak meleraikan pergaduhan dan mengarahkan mereka keluar dari masjid.

Keadaan kembali tenang selepas itu sebelum datang seorang lelaki dipercayai Pengerusi Masjid memperjelaskan isu yang sebenar.

Pengerusi berkenaan menjelaskan bahawa tugasnya hanya menjaga keselamatan masjid dan berikutan itu dia berharap semua pihak bersabar. – UTUSAN ONLINE