Kali ini, pesona warna sama dibawa pula oleh ais krim berperisa arang yang diperkenalkan Kori Cafe, sebuah restoran milik anak tempatan di Wakaf Bharu, di sini yang dibuka sejak bulan lalu.

Kelainan rupa dan perisa ais krim hitam-legam terbabit menjadi buah mulut penduduk setempat dalam masa singkat bersama satu lagi produk unik keluaran Kori Cafe, iaitu ais krim berperisa garam laut yang berwarna biru.

"Ais krim arang itu dinamakan Black Panther, sesuai dengan warnanya yang hitam legam manakala ais krim garam laut yang serba biru pula kita gelar Santorini, sempena nama pulau indah yang terletak di Greece.

WEE SO CHIT

"Kami pilih dua ais krim ini sebagai produk utama Kori Cafe kerana keunikan rasa dan rupanya yang belum pernah dijual di mana-mana tempat di negeri ini. Black Panther dan Santorini dijual pada harga RM4.90 setiap satu," kata pemilik restoran, Wee So Chit.

Wanita berusia 55 tahun itu dikenali sebagai Kak Wee dalam kalangan penduduk setempat merupakan anak jati Wakaf Bharu. Restoran tersebut diusahakan bersama anak lelaki, Hu Sze Siang, 30 serta menantunya.

Menurut So Chit, perkataan Kori diambil daripada istilah bahasa Jepun yang bermaksud 'ais' dan nama itu dipilih kerana menepati identiti restoran mereka yang menjual pelbagai pencuci mulut berasaskan ais.

"Kalau tengok pada trend semasa, ramai yang menggemari ais krim yang bersifat mewah. Namun ais krim seumpama itu, misalnya satu jenama antarabangsa yang popular, agak mahal dan tidak semua orang mampu menikmatinya.

"Kori Cafe mahu jadi restoran tempatan pertama yang menawarkan ais krim mewah di lokasi eksklusif dan kondusif, namun dengan harga mampu milik supaya mampu dinikmati seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira latar belakang," katanya.

Sementara itu, salah seorang pelanggan, Adila Wahid, 33, dari Kota Bharu berkata, dia bertandang ke restoran itu untuk mencuba sendiri ais krim arang dan garam laut selepas disyorkan oleh salah seorang rakan.

Ais krim arang dan garam laut yang mencetus fenomena tersendiri
Ais krim arang dan garam laut yang mencetus fenomena tersendiri di Wakaf Bharu, Kelantan.

"Ini kali pertama kami cuba ais krim berperisa seumpama itu. Anak-anak gemarkan ais krim arang manakala saya lebih menyukai ais krim garam laut kerana rasanya masin berlemak dan kurang manis," katanya yang bertugas di Kompleks Mahkamah Kota Bharu.

Selain ais krim, produk lain yang menjadi tumpuan pelanggan di situ ialah Bingsu, iaitu sejenis hidangan ais parut ala Korea yang dinikmati bersama potongan buah-buahan segar seperti strawberi, mangga, tembikai susu dan blueberi.

Turut berada dalam senarai 'wajib beli' pelanggan di Kori Cafe ialah minuman teh susu bubble pearl atau 'boba' serta teh buah-buahan. Selain itu, Kori Cafe turut menjual aneka jenis kek pasu, croissant, pizza dan grilled chicken chop.

Sebarang maklumat lanjut, pembaca boleh melayari laman sosial Facebook Kbkoricafe atau Instagram Kori_Cafe_Kelantan. - UTUSAN ONLINE