Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa berusia 63 tahun ditembak dari dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dinaikinya itu dipercayai mengggunakan pistol dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, ketika kejadian, lelaki berkenaan baru pulang berhibur dari sebuah kelab malam di sini bersama seorang rakannya berusia 47 tahun berasal dari Johor Bahru.

Katanya, hasil siasatan mendapati, apabila tiba di depan rumah yang disewa lelaki berkenaan, rakannya keluar dari MPV tersebut dan datang seorang tidak dikenali sebelum menembak mangsa di dalam kenderaan itu.

"Mangsa sempat memandu kenderaan tersebut untuk mendapatkan bantuan dan meninggalkan rakannya yang lari menyembunyikan diri apabila megar tembakan.

"Mangsa bagaimanapun tidak sempat ke hospital. Dia berhenti di depan sebuah farmasi yang sudah ditutup dan di situ orang ramai dapat mengesan apa yang berlaku serta menghantarnya ke hospital. Mangsa disahkan meninggal dunia setibanya di hospital selepas mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Perhimpunan Khas Ketua Polis negeri di pekarangan Ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) di sini hari ini.

Menurut Abdul Jalil, polis setakat ini menahan rakan mangsa bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan termasuk untuk mengenal pasti apa kaitan rakan mangsa memandangkan mereka datang dari Johor Bahru kerana ada urusan di negeri ini dan tinggal menyewa di rumah berkenaan.

"Siasatan dijalankan dari pelbagai sudut seperti melihat apakah ia ada kaitan dengan kongsi gelap, elemen cemburu atau pinjaman wang.

"Kita memohon orang ramai yang mempunyai maklumat menyalurkannya ke balai polis terdekat bagi membantu menyelesaikan kes ini," katanya. - UTUSAN ONLINE