Tertuduh, Pang Ming Siong, 48, Cheng Foot Leong, 40, dan Tok Chun Whei, 35, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa mengedar dadah berbahaya disyaki jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 2,064,274.0 gram.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Lot 1162, Kolam Ikan JTM 68, Jalan Tanah Merah, Desa Cemerlang di sini pada pukul 7.30 pagi, 19 Mac 2019.

Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazli manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Abd. Kadir.

Tiada ikat jamin dibenarkan ke atas kesemua tertuduh.

Mahkamah menetapkan 23 Mei depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.- UTUSAN ONLINE