Difahamkan, kejadian berlaku apabila petrol yang diisi oleh pemilik kenderaan tersebut telah tercampur dengan air yang memasuki salah satu tangki simpanan di stesen minyak berkenaan.

Seorang pesara, Rosli Saad, 64, berkata, dia ke stesen mi­nyak tersebut kira-kira pukul 7.40 pagi untuk mengisi pe­trol sebelum menghantar kende­raannya itu untuk diselenggara di bengkel kereta yang terletak berhampiran.

“Sebaik sahaja menghidupkan enjin dan bergerak tiba-tiba sahaja kereta berhenti, mujur kereta tidak bergerak lebih jauh lagi dan memasuki lebuh raya, jika tidak mesti urusan bertambah leceh.

“Mula-mula saya tak tahu puncanya tetapi apabila melihatkan ramai yang turut me­ngalami nasib serupa, kesemua mereka merujuk kepada pihak stesen minyak.

“Saya dimaklumkan petrol yang diisi itu telah tercampur air, dan pihak stesen minyak telah menyatakan persetujuan untuk membayar semula semua kos kerugian yang ditanggung,” katanya.

Kakitangan kerajaan, Faiz Ahmad, 39, pula menjelaskan, kira-kira pukul 7.35 pagi dia mengisi minyak dan kemudiannya mendapati beberapa buah kenderaan lain telah tersadai di kawasan stesen tersebut.

“Saya menghidupkan enjin selepas itu namun gagal dan kemudiannya menolak kereta ke tepi. Kira-kira 20 minit kemudian saya terlihat sekumpulan pemilik kenderaan datang semu­la ke stesen ini dalam keadaan marah dan memberitahu kereta mereka rosak sebaik mengisi minyak,” katanya.

Bagi pekerja swasta, N. Nadarajan, 55, dia gagal menghidupkan enjin van selepas mengisi minyak dan kemudiannya diberitahu oleh orang ramai bahawa terdapat beberapa buah lagi ken­deraan mengalami nasib serupa.

“Saya mengisi minyak di ste­sen ini kira-kira pukul 7.56 pagi dan selepas itu van saya langsung tidak boleh dihidupkan. Pada mulanya saya turut tertanya-tanya apa yang terjadi sebelum diberitahu oleh orang awam bahawa petrol di stesen ini telah tercampur sama ada dengan diesel ataupun air,” katanya.

Sementara itu, rakaman vi­deo dan gambar kejadian tersebut turut tular dalam media sosial manakala laluan di Besraya menuju ke pusat bandar raya mengalamai ke­sesakan teruk.