Pelbagai kecaman turut diterima dan ramai yang menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Akan tetapi sistem pengangkutan buatan syarikat tempatan, Aerodyne ini bukanlah seperti tanggapan ramai sebelum ini.

Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI bersama Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne, KAMARUL MOHAMED berkenaan ciptaan tersebut dalam LIMA ‘19.

UTUSAN: Apakah pengalaman saudara sebelum ini dan bagaimana tercetusnya idea untuk menghasilkan Vector?

KAMARUL: Kami merupakan syarikat tempatan dalam bidang perkhidmatan pemantauan menggunakan dron selama empat tahun. Selain Malaysia, kami beroperasi di 26 buah negara, antaranya seperti di United Kingdom (UK), Jepun dan Eropah.

Idea ini tercetus selepas melihat konsep ‘air mobility’ daripada negara lain yang telah dibangunkan sebelum ini. Ia merupakan satu revolusi pengangkutan dalam masa 10 tahun akan datang. Cuma sebelum kita sampai ke tahap itu, orang ramai perlu faham, Vector bukan sesuatu yang boleh dibeli, sebaliknya ia sama seperti konsep pengangkutan awam Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT).

Berapakah kos bagi pembinaan prototaip Vector?

Penghasilan dan proses inovasi Vector menelan kos sebanyak RM500,000 tanpa membabitkan bantuan serta geran kerajaan.

Bagaimana Vector berfungsi?

Vector menggunakan kuasa bateri Nanotube yang dijangka mampu bertahan sehingga empat jam, iaitu dengan mengambil peningkatan keupayaannya dalam tempoh tiga ke lima tahun lagi. Kenderaan ini boleh berge­rak dari satu tempat ke tempat lain dengan diuruskan sistem pengurusan tersendiri tetapi hanya digunakan bagi jarak dekat dan bukan pengganti kepada kenderaan lain termasuk kereta.

Saiznya hampir sama (kereta), tetapi tiada pemandu dan semua laluan telah ditetapkan serta diuruskan dengan sistem tersendiri. Yang pasti kita sendiri akan pandu uji nanti dalam tahun ini.

Adakah saudara sedar bahawa Vector menerima kecaman dalam media sosial dan apa pendapat saudara berhubung kecaman tersebut?

Saya tahu banyak yang me­ngeji daripada memuji. Mereka sebenarnya yang tidak tahu apa-apa. Ibarat tin kosong. Tetapi tidak mengapa, saya akan buktikan satu hari nanti. Cuma berilah masa dan peluang.

Apakah harapan saudara?

Harapan saya Malaysia boleh menjadi salah sebuah negara yang pertama menerima teknologi pengangkutan baharu seperti Vector. Kami mahu ia bukan sahaja digunakan di Malaysia tetapi boleh juga dieksport ke luar negara.