Selepas mendengar desas-desus bahawa operasi akhbar keramat yang berusia 80 tahun itu akan diberhentikan, dia sedikit cemas kerana itulah bahan bacaan utamanya sejak dahulu.

"Alhamdulilah, semalam pihak pengurusan akhbar itu telah memaklumkan operasi Utusan akan diteruskan. Saya sangat gembira, akhbar ini mesti diteruskan kerana ia begitu banyak jasa kepada negara ini. Saya adalah pembaca setia Utusan dan akan terus setia sampai bila-bila.

"Saya harap generasi muda khususnya, berilah sokongan kepada akhbar ini. Hanya inilah suara (Utusan) yang ada yang pernah mempertahankan bangsa dan tanah air ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir dalam sidang akhbar berkata, syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (Kumpulan Utusan) akan terus beroperasi dengan menerbitkan dua akhbar di bawahnya, Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Jelas Abd. Aziz, langkah itu diteruskan sekali pun syarikat akhbar itu berada dalam situasi sukar terutama peralihan dunia pemberitaan dalam bentuk media sosial.

Pada masa sama, syarikat turut mengambil keputusan untuk menaikkan harga akhbar Utusan Malaysia daripada RM1.50 senaskhah kepada RM2 senaskhah manakala Kosmo! daripada RM1.00 kepada RM1.50 senaskhah mulai Jumaat ini.

Sementara itu, seorang perniaga, Rizal Husin, 40, berkata, dia akan sentiasa memberi sokongan kepada akhbar Utusan Malaysia yang pernah membantu dalam mempromosikan kedai Char Kuey Teow miliknya dahulu sehingga terus berkembang pesat sehingga hari ini.

Katanya, selain melanggan akhbar tersebut dia juga turut memaklumkan rakan-rakan lain supaya membeli akhbar berkenaan setiap hari.

"Mungkin dengan cara itu saya dapat membantu akhbar yang telah banyak berjasa kepada saya," katanya.- UTUSAN ONLINE