Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad dan Naib Presiden Kanan Pemerkasaan Industri, Universiti Limkokwing, Datuk Raja Aznil Raja Hisham dengan disaksikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas.

Menurut Mohd. Noordin, pemberian biasiswa itu bertujuan menyediakan peluang pembelajaran kepada pelajar yang tidak dapat meneruskan pengajian di universiti awam dan juga mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan.

“Kita mahu pelajar mengambil peluang yang diberikan ini dalam memacu pendidikan dalam bidang kreatif dan inovatif.

“Kumpulan Utusan sangat berbangga dapat menjadi rakan kerjasama dengan Universiti Limkokwing yang telah berjaya menghasilkan graduan-graduan berkualiti dan serba boleh,” katanya dalam majlis menandatangani MoU itu di Universiti Limkokwing, Cyberjaya dekat sini.

Majlis yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Kanan Pembangunan Korporat Universiti Limkokwing, Datuk Fajura Juffa Mohd. Mustafa Kamal itu turut mengurniakan 10 pelajar sekolah yang terpilih untuk menyambung pengajian bermula Ogos ini.

Sementara itu, Raja Aznil berkata, kerjasama itu selaras dengan usaha Presiden yang juga Pengasas Universiti Limkokwing, Tan Sri Lim Kok Wing berjuang sejak tahun 1970-an untuk menggerakkan hala tuju pendidikan berteraskan teknologi kreatif dan kemahiran.

“Pihak universiti amat menghargai kerjasama yang diberikan Kumpulan Utusan dan kesudiannya demi menjayakan hasrat kami menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi yang disegani dunia.

“Pelajar daripada lebih 160 negara ada di sini untuk meneruskan pengajian mereka dalam pelbagai bidang industri kreatif sehingga kami dikenali sebagai mini United Nation,” katanya.

Pemberian biasiswa berkenaan merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan Utusan dan yang pertama secara bersama dengan Universiti Limkokwing.

Maklumat lanjut berkenaan kursus pengajian yang ditawarkan serta borang permohonan boleh didapati di laman web www.biasiswautusanlkw.com.my dan juga diiklankan di akhbar Utusan Malaysia bermula Sabtu ini.