Program anjuran Universiti Teknologi Petronas (UTP) dengan kerjasama Yayasan Petronas itu melibatkan anak-anak yatim dan miskin dari Rumah Anak-Anak Yatim Soleha, Tanjung Tualang; Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, Parit dan Asrama Darul Salam, Sungai Rapat, Ipoh.

Turut dibawa membeli baju raya, anak-anak yatim dan miskin dari Pertubuhan Rumah Amal Haruman Kasih, Ayer Tawar dan Yayasan Amanah An-Nur Maisarah, Chemor.

Kesemua mereka ditemani oleh kakitangan UTP yang sama-sama membantu kanak-kanak itu memilih pakaian mengikut cita rasa masing-masing.

Bagi anak yatim dari Asrama Darul Salam, Nur Fisyahril Jihan Abdullah, 15, dia berasa gembira apabila berpeluang memilih pakaian raya sendiri bersama lima adik beradiknya yang lain.

Katanya, dia berasa seronok apabila melihat adik-adiknya begitu teruja memilih pakaian seperti baju kurung, tudung, jubah, kurta dan songkok.

“Kami bersyukur dan seronok kerana dapat memilih baju raya sendiri. Terima kasih kepada UTP dan Yayasan Petronas atas sumbangan ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Syed Noraiman Syed Kamaruzzaman, 13, daripada Persatuan Kebajikan Rumah Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, dibawa membeli baju raya adalah pengalaman baharu baginya yang telah setahun menghuni rumah kebajikan itu.

“Sebelum ini saya ada juga menerima bantuan tapi bukan dibawa sekali untuk memilih sendiri pakaian raya. Ini pengalaman baharu dan saya amat bersyukur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Komunikasi Korporat UTP, Shamsina Shaharun berkata, pihaknya gembira meraikan anak-anak yatim dan miskin itu dengan membawa mereka membeli baju raya.

“Tiga komponen penting ingin dicapai pada program kali ini melibatkan aspek psikologi iaitu berbuka puasa dan membeli-belah bersama, membaik pulih kemudahan asas mereka dan memberi motivasi,” katanya.-UTUSAN ONLINE