Menurut Penolong Naib Canselor (Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti) Utem, Prof. Dr. Mohd. Ridzuan Nordin, masalah yang berlaku pada 27 Oktober lalu itu berpunca daripada sambungan paip air yang tertanggal berikutan tekanan pam yang tinggi.

Beliau berkata, bagaimanapun masalah tersebut hanya melibatkan satu unit kediaman sahaja dan telah diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas pihak pentadbiran universiti menerima laporan.

"Berita yang tular dalam media sosial berhubung kerosakan paip bekalan air di Kolej Kediaman Satria Utem itu merupakan isu lama yang telah diselesaikan sepenuhnya.

"Saya telah dimaklumkan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan Utem, Dr. Mohd. Rayme Anang Masuri bahawa kerosakan tersebut tidak menjejaskan kekuatan dan integriti struktur bangunan serta kelengkapan peralatan elektrikal di bilik kolej kediaman yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Rakaman video yang tular berdurasi 2.06 minit itu memaparkan kerosakan paip yang teruk didakwa berlaku di Kolej Kediaman Satria Utem sehingga membanjiri sebuah bilik pelajar.

Laporan yang tular itu turut memaklumkan kerosakan paip di kolej kediaman yang baru dibuka minggu lalu mengundang ketakutan pelajar, malah pihak universiti turut didakwa mengambil mudah masalah berkenaan. - UTUSAN ONLINE