Dia yang menerima Anugerah Menteri Besar itu berkata, tumpuan penuh terhadap setiap mata pelajaran yang dipelajari membolehkannya meraih keputusan cemerlang dari tahun pertama hingga tamat pengajian.

Pelajar berusia 21 tahun itu yang aktif dalam bidang kokurikulum turut berkongsi resepi kejayaan apabila bijak membahagikan masa agar tidak terganggu pembelajaran dalam kelas kerana sibuk dengan aktiviti di luar kuliah.

“Bagi saya yang paling penting ialah kita kena utamakan hubungan dengan Allah SWT dan mendalami al-Quran. Sebagai pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran wa Al Qiraat, saya tumpukan terlebih dahulu bab hafalan al-Quran.

“Selagi saya tidak dapat menghafalnya ketika menghafaz di tengah malam, saya tidak akan tidur. Setelah berjaya menghafaz sehingga lancar, barulah saya fokus kepada tugasan yang lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Marsah ke-19 di Pusat Islam di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvantri sebagai wakil rasmi Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

 

Anak kelahiran Kluang itu berhasrat untuk bekerja sebagai guru agama di madrasah di negeri ini sebelum melanjutkan pelajaran pada tahun hadapan.

Sementara itu, bapanya, Othman Ahmad Jais, 52, merasa amat bersyukur bukan kerana anaknya mendapat keputusan cemerlang tetapi berjaya menguasai apa yang dipelajari.

“Saya cukup berbangga dengan kejayaannya dan berharap dia dapat terus mendalami ilmu al-Quran pasa masa akan datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE