MBM menyokong kenyataan DBP dan menggesa agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengkaji semula pertukaran nama Hari Sukan Negara kepada MySC yang dilihat akan membelakangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Penukaran nama Hari Sukan Negara kepada bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu sepertinya memperlekehkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang telah memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963 yang secara jelas memperuntukkan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan.

MBM juga sependapat dengan kenyataan ABIM yang melahirkan kerisauan akibat penggunaan terlalu kerap bahasa Inggeris dalam program-program melibatkan kerajaan, termasuklah program Malaysian Future Leaders School (MFLS) dan Youth Power Club.

Perkembangan ini amat merisaukan memandangkan kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan telah mula mengabaikan tanggungjawab memelihara, dan mempromosi penggunaan bahasa kebangsaan.

Kenyataan Timbalan Menteri yang menyatakan bahawa dengan penjenamaan semula Hari Sukan Negara akan meningkatkan prestij program berkenaan juga seperti mempertikaikan kemampuan bahasa Melayu.

Prestij sesuatu program bukanlah terletak pada nama, tetapi bagaimana pelaksanaan program tersebut dijalankan dan strategi promosi yang berkesan.

Timbalan Menteri juga menyatakan bahawa program ini bukan sahaja bersifat kebangsaan, bahkan antarabangsa. MBM menyambut baik usaha tersebut, namun bukan alasan menukar nama program kepada bahasa Inggeris.

Sekiranya penggunaan nama sesuatu acara tersebut diguna untuk acara antarabangsa, maka dwibahasa sepatutnya digunapakai, dengan bahasa kebangsaan dibesarkan dan bahasa Inggeris dikecilkan.

MBM mengambil kesempatan ini juga menggesa agar DBP diberikan peruntukkan undang-undang dalam menguatkuasakan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

MOHD. IZZAT AFIFI ABDUL HAMID
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.