Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Mohamad Abdullah menjelaskan, tidak timbul isu USM tidak menghiraukan nasib pemuda yang membantu ibunya menjaja petai dan sayuran kampung itu kerana universiti sememangnya mempunyai pelbagai cara untuk mencari jalan penyelesaian permasalahan dihadapi Muhammad Izzat.

MOHAMAD ABDULLAH

“Sebenarnya USM menolak permohonan penangguhan pengajian pelajar ini bertujuan untuk membantunya pada masa hadapan. 

“USM mempunyai beberapa cara untuk membantu termasuk kemungkinan mencari penaja dan memberi wang ihsan serta mendapatkan sumber-sumber lain untuk membantu. 

“Muhammad Izzat perlu hubungi saya dan kami (USM) akan cari jalan untuk bantu dengan sewajarnya.

“Malah kami sudah  hubungi pelajar ini. Ada beberapa orang pelajar lain pun (yang menghadapi masalah pembiayaan kerana keluarga susah) ada hubungi saya. Kami akan bantu mereka yang bermasalah dengan apa cara yang boleh,” kata Mohamad kepada Utusan Malaysia malam ini.

Muhammad Izzat, anak ketiga daripada 12 beradik merupakan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra memberitahu, dia tidak mampu mengumpul wang pendaftaran sebanyak RM1,400 dan telah memohon menangguhkan pengajian.

Bagaimanapun, katanya, pihak USM Pulau Pinang menghubunginya dua hari lalu dengan mengatakan permohonan untuk penangguhan pendaftaran itu telah ditolak.

Orang ramai yang ingin membantu Muhammad Izzat Amran boleh menghubunginya di talian 013-7656855 atau memberi sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0302041000159967. - UTUSAN ONLINE