Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sehingga kini hasil usaha yang dilakukan telah berjaya menjejaki kira-kira 400,000 peserta program tersebut.

“Sebelum ini tidak ada usaha menjejaki mereka sejak PLKN diperkenalkan kira-kira 10 tahun lalu. Yang kita sudah kenal pasti seramai 400,000 orang dengan separuh daripadanya sudah mengundi pada PRU lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Naib Ketua bahagian, Datuk Dr. Awaludin Said.

Sementara itu, Hishammuddin turut memuji perpaduan yang wujud di UMNO Bahagian Rembau walaupun terdapat beberapa pemimpin bertaraf ‘heavyweight’ di bahagian berkenaan.

Katanya, selain Mohamad yang juga Menteri Besar, turut berada di bahagian itu ialah Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang merupakan timbalan ketua bahagian dan Awaludin (Speaker Dewan Undangan Negeri) serta Ketua Puteri UMNO negeri, Zuliana Mohd. Ridzuan. - UTUSAN ONLINE