Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, industri padi memerlukan mereka yang mahir menguruskan estet padi seperti mana tenaga pakar yang digunakan di dalam ladang-ladang kelapa sawit dan getah.

Kata beliau, perkara itu penting supaya golongan pesawah dapat keluar daripada kelompok kemiskinan dan tidak lagi bergantung kepada subsidi selama-lamanya.

"Barulah kita boleh tukar cara kita (menanam padi secara estet), kalau tidak, selamanya akan bergantung kepada subsidi... Malulah seumur hidup bergantung kepada subsidi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 dengan tema Pembangunan Industri Padi Beras Secara Komersial di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Menurut Perdana Menteri, beliau telah melontarkan idea mengenai pembentukan estet padi kepada Pengerusi Felda, Mohd. Bakke Salleh yang berpengalaman luas dalam industri perladangan.

"(Mohd.) Bakke mempunyai cara bagaimana hendak mencantumkan tanah-tanah milik orang Melayu agar pengeluaran pertanian dalam dioptimumkan. Ini tidak terhad kepada padi sahaja.

"Kita lihat bagaimana ladang getah milik syarikat besar mengeluarkan hasil lebih tinggi berbanding jumlah keseluruhan kebun kecil milik orang kampung," katanya lagi.

Tambah Mahathir lagi, isu keluasan tanah yang terhad untuk tujuan pembangunan dan perumahan di negeri ini juga dapat diatasi sekiranya penghasilan padi negara boleh dioptimumkan menerusi estet dan penggunaan teknologi moden. - UTUSAN ONLINE