Wisma Putra dalam satu kenyataan memberitahu, Malaysia, Indonesia, Kuwait, Pakistan, Qatar dan Turki telah menaja resolusi itu sementara 36 lagi negara anggota pula menjadi penaja bersama (co-sponsored) resolusi terbabit.

Jelasnya, resolusi itu antara lain mengecam dengan istilah yang paling tegas terhadap tindakan pengganas dalam serangan menyasarkan umat Islam di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu.

“Ia menolak sekeras-kerasnya segala tindakan keganasan terhadap seseorang berasaskan agama dan kepercayaannya termasuk semua serangan di tempat-tempat ibadah.

“Resolusi ini menyeru pengukuhan usaha-usaha antarabangsa dalam memupuk satu dialog global bagi mempromosikan budaya bertolak ansur dan keamanan berdasarkan sifat menghormati hak asasi serta kepelbagaian agama dan kepercayaan,” jelasnya dalam kenyataan itu di sini hari ini.

Ketika menjelaskan kedudukannya berikutan resolusi UNGA itu, Malaysia menegaskan bahawa keganasan berdasarkan agama atau kepercayaan mesti ditolak secara keseluruhan, tambah Wisma Putra.

Jelasnya, Malaysia juga menyeru semua negara anggota untuk mempromosikan dialog antara agama dengan bersungguh-sungguh dalam mempromosikan keamanan, kesederhanaan dan toleransi agama.

Penglibatan Malaysia yang membawa kepada penerimaan resolusi itu katanya, adalah selaras dengan Rangka Kerja Dasar Luar Negara Malaysia Baharu yang bersifat proaktif serta menuntut pengamal dasar luar negara untuk lebih aktif dalam proses membentuk pendapat dan membina konsensus.

“Penerimaan resolusi UNGA itu telah menunjukkan bahawa masyarakat dunia bersatu dalam mengecam tindakan-tindakan keganasan yang menyasarkan individu termasuk mereka yang tergolong dalam minoriti agama serta berdasarkan nama agama dan kepercayaan.

“Malaysia kekal teguh dalam memerangi dan mencegah tindakan-tindakan keganasan berdasarkan keagamaan atau kepercayaan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE