Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya menjangkakan DAP sebenarnya tidak bersetuju dengan pindaan bagi meminda had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran secara automatik.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, kerajaan diyakini tidak akan menarik balik perkara itu memandangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya.

“Kita jangkakan DAP tidak setuju tetapi saya tidak fikir ia akan ditarik balik, Tun Dr Mahathir sudah beri kenyataan, Syed Saddiq pun sudah beri kenyataan, tidak mungkin DAP akan bantah tetapi kita tidak kisah.

“Itu usul daripada kerajaan dan mereka yang bentang, kita sudah sokong terserah kepada kerajaan, dia nak tarik atau nak buat apa selepas ini,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang di Dewan Apam Putra di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Akbar Salim.

Majlis perasmian itu turut dihadiri tetamu khas, Timbalan Yang Dipertua Pas Rantau Panjang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Periok, Mohamad Awang bersama rombongannya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu sudah dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan pertama Khamis lalu dan akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua bagi perbahasan pada Selasa ini. - UTUSAN ONLINE